Ulasan Jurnal Kejurulatihan Komputer 1

on Tuesday, February 17, 2009

TAJUK JURNAL
Cognitive Abilities That Predict Success in a Computer-Based Training Program
PENGARANG
Raymond L Ownby; Sara J Czaja; David Loewenstein; Mark Rubert
SUMBER
The Gerontologist; Apr 2008; 48, 2; ProQuest Education Journals, pg. 170

Artikel jurnal ini mengulas tentang keperluan mengenalpasti kebolehan kognitif dalam menentukan kejayaan kursus berasaskan komputer; dan seterusnya membuat ujian bagi menguji kebolehan kognitif orang dewasa. Kajian telah menunjukkan terdapat perubahan terhadap kebolehan kognitif orang dewasa berdasarkan peningkatan umur (Park & Schwarz, 2000) Pekerjaan berasaskan komputer pula menjadi semakin popular terutama di kalangan pengguna dewasa. Kajian juga menunjukkan bahawa keupayaan kognitif adalah kayu pengukur kepada pencapaian kerja yang berasaskan teknologi (Fisk, Rogers, Charness, Czaja & Sharit, 2004; Rogers & Fisk, 2000)

Data yang digunakan di dalam kajian ini adalah ujian kognitif, demografik dan performance data ke atas 417 orang peserta. Terdapat tiga tugasan untuk kajian ini. 119 peserta terlibat di dalam Tugasan 1 iaitu kemasukan data (data entry), memasukkan data dari helaian tulisan tangan ke komputer; 156 peserta pula terlibat di dalam Tugasan 2 iaitu pencarian maklumat (information search), mencari maklumat dari pangkalan data komputer (computer database); dan 142 peserta terlibat dalam Tugasan 3 iaitu penyeimbangan akaun (accounts balancing), yang memerlukan pengiraan dan pencarian ralat. Peserta dibahagikan kepada tiga peringkat umur, peringkat muda, pertengahan dan tua. Min umur ialah 29.6 tahun bagi peringkat muda, 49.6 tahun bagi peringkat pertengahan dan 68.2 tahun bagi peringkat tua. Keseluruhan sampel terdiri dari 243 peserta perempuan dan 174 peserta lelaki.

Hasil kajian menunjukkan bahawa peserta yang lebih tua lebih cenderung untuk tidak meneruskan tugasan/ latihan yang diberi berbanding peserta yang lebih muda atas beberapa faktor seperti, peserta yang lebih tua mempunyai keupayaan psikomotor yang lebih rendah dan short-term memory. Atas sebab faktor umur berkenaan, rumusan daripada dapatan kajian mencadangkan supaya tugasan di dalam kursus-kursus komputer perlu diatur dan dirancang berdasarkan umur dan keupayaan peserta bagi mencapai objektif kursus.

Secara keseluruhan, dapatan kajian merumuskan bahawa, umur memainkan peranan penting dalam menentukan tugasan / latihan yang patut diberi kepada pekerja. Walaupun pekerja yang lebih tua kurang produktif dalam beberapa aspek, mereka mempunyai pengalaman yang lebih luas berbanding dengan pekerja yang lebih muda. Pekerja yang lebih muda pula lebih produktif dalam hal-hal teknologi berbanding pekerja yang lebih tua. Oleh itu, tenaga kerja pekerja muda dan tua adalah sama-sama diperlukan bagi memantapkan suatu organisasi kerana masing-masing mempunyai keupayaan yang amat diperlukan oleh organisasi.